Kembali dan terus kembali.
*
Semalam aku keseorangan di rumah aku hanya ditemani tiupan angin winter dan siulan yang mengerikan.
"Blizzard dijangka", berkata Pakcik Yahoo Weathers.
Seram sejuk, aku cepat-cepat menyelimutkan diri dengan comforter Ikea sambil beribakan komputer bimbit. Entah atas intuisi apa, mood kelam dan nostalgik itu mendorong jari-jemari aku untuk mencari semula sisa kehidupan aku dahulu.
Terjumpa blog lama aku. Perlahan-lahan aku bukak (sebab internet lambat). Satu per satu aku baca. Dari pasca SPM, masuk ke INTEC, terus terbang untuk tahun pertama di Rusia, dan kemudiannya mati. Hidupnya selepas itu ibarat lampu nyawa ultraman saja. Transisi diri sendiri setelah 3 tahun berkecimpung dianalisis oleh cortex otak.
Tak matang. Langsung. Perbalahan yang mengikut nafsu, konteks pos yang kadangkala berat sebelah dan kepura-puraan berpuncak dalam beberapanya. Tak dilupakan anon-anon yang memberi komen pedas terhadap pendapat aku tentang politik Malaysia dan pemahaman Islam aku.
Tapi, jantung aku terus berdetak-detak. Persoalan demi persoalan bermain. Kenapa berhenti? Takkan sebab beberapa kerikil tajam sahaja sudah putus asa?
Rindu zaman dahulu. Tatkala ahli-ahli batch Rusia aku semuanya aktif dalam bidang blog. Amir dengan sasteranya. Hairi dengan Nizhnynya. Nana dengan falsafahnya. Alia dengan ngomelan hidupnya. Mubin dengan fotonya. Ijo dengan kehenseman blognya. Aimi dengan segalanya.
Ada yang masih aktif. Ada yang semput-semput sahaja hidup seperti ikan di hujung mata kail. Ada yang sudah pun dimandikan, dikapankan, dan dikuburkan.
Rindunya zaman tu. Seikut hatinya, aku nak terus delete sahaja blog aku dahulu. Tapi mungkin sebab ikatan emosi menyebabkan aku transfer segalanya kepada blog ini.
Ok pos ini mungkin sudah terlalu cheesy maka aku berhenti sebelum kredibiliti aku terjejas.
*
Giannya nak berkarya semula.